LAWAS, 29 Mei: Sokongan berterusan kepimpinan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Negeri Sarawak (Saberkas) terhadap Saberkas Bukit Sari menyuntik semangat baharu kepada mereka untuk tampil lebih yakin dalam melaksana program-program belia di daerah itu.
Pengerusi Saberkas Bukit Sari, Kaunselor Abu Bahrin Reduan berkata, pihaknya berbesar hati dapat bersua dan berbincang dengan Presiden Saberkas Sarawak merangkap Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang bertandang ke Lawas.
Malah katanya, kehadiran Karim ke Lawas bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan membakar semangat belia Saberkas Bukit Sari untuk menganjurkan lebih banyak program.
“Kita memang satu pertubuhan muda yang kerdil berbanding dengan rakan-rakan parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan agensi kerajaan lainnya.
“Tetapi kehadiran pemimpin yang kita sayangi ke tapak Gunting Rambut Saberkas Bukit Sari pada 27 Mei oleh Awang Tengah dan 28 Mei oleh Premier Sarawak bersama Presiden Saberkas Sarawak telah benar-benar menyuntik semangat belia Saberkas di Lawas ini,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Lawas semalam.
Abu Bahrin turut berterima kasih kepada bekas Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa selaku bekas Pengerusi Saberkas Bukit Sari dalam mengangkat kejayaan Saberkas dalam program besar itu.
“Walau kecil tapi kami berjaya membuat kehadiran Saberkas dirasai dan turut menyumbang dalam Program Youth Got Skill anjuran Saberkas Bukit Sari yang berjaya mengetengahkan enam tukang gunting rambut muda untuk mengunting rambut secara percuma kepada 60 kanak-kanak daripada mereka yang kurang berkemampuan,” ujarnya.
Program Saberkas Bukit Sari ini adalah bersempena Pelancaran Jelajah Konvoi 60 Tahun Sarawak Merdeka bermula daripada Lawas pada 28 Mei lalu. – TVS