SARIKEI, 30 Mei: Tiga warga emas, 14 kanak-kanak dan dua bayi antara 76 penghuni rumah panjang Selunsin, Sungai Maram, Jalan Beratok Pakan yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah panjang mereka terbakar di sini, pagi tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, kebakaran yang berlaku kira-kira jam 10.30 pagi itu telah mengakibatkan rumah panjang dua tingkat 15 buah pintu itu terbakar sehingga 80 peratus.
“Ruangan hadapan (ruai dan bilik tidur tingkat atas) terbakar 100 peratus manakala bahagian belakang (ruang tengah dan dapur) berjaya diselamatkan,” jelas kenyataan itu.
Walau bagaimanapun, menurut PGO semua penghuni rumah panjang berkenaan berjaya menyelamatkan diri.
Terdahulu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor dan bantuan BBP Sarikei ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan pada jam 10.36 pagi tadi.
Pihak bomba memadam dengan sumber air terbuka dari kolam berhampiran rumah panjang tersebut.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11:35 pagi dan padam sepenuhnya pada jam 2.10 petang. – TVS