BINTANGOR, 30 Mei: Masyarakat Dayak di Sarawak kini sibuk membuat persiapan terakhir menjelang sambutan Hari Gawai yang bakal diraikan bermula malam esok.
Rata-rata masyarakat Dayak yang ditemui TVS berkata, sambutan Gawai pada tahun ini dijangka lebih meriah berbanding tahun sebelumnya tetapi persiapan tetap dilakukan secara sederhana.
Tuai Rumah Sungai Bakong, Riti Saong berkata, sambutan Gawai di rumah panjangnya bakal meriah dan bermakna kerana disambut bersama ahli keluarga yang lain.
“Sambutan Gawai pada kali ini, saya menyambut bersama ahli keluarga serta penduduk di rumah panjang ini sahaja. Saya tidak menjemput tetamu dari rumah panjang lain kerana ia bukannya Gawai Antu,” katanya.
Menurut Tuai Rumah Batu Tiga Jalan KJD, Sembambu Seli, kepulangan anak-anak pada sambutan Gawai pada kali ini menambah kemeriahan persiapan Gawai yang dapat dilakukan bersama-sama.
“Ketika ini, ramai anak-anak yang sudah pulang ke kampung dan membuat persiapan Gawai bersama keluarga di rumah. Namun ada yang tidak dapat berbuat demikian kerana tidak mempunyai cuti, terasa sayu jugalah, seperti anak saya yang sedang menjalani latihan praktikal di Sandakan yang tidak boleh pulang kampung,” katanya.
Selain itu, Tuai Rumah Skim B Meradong, Mery Amirir berkata, sambutan Gawai pada kali bakal lebih meriah dengan kepulangan anak-anak rantau yang hanya pulang sekali setahun sahaja.
“Sambutan Gawai di rumah panjang saya tahun ini agak meriah kerana sebahagian besar anak perantau sudah balik dan persediaan yang dilakukan orang ramai ialah pergi ke pasar untuk membeli-belah. Kemeriahan memang terasa sebab mereka pulang setahun sekali. Kita memang bersedia menyambut tetamu kerana rumah panjang kami memang terbuka untuk tetamu,” katanya. -TVS