KAPIT, 30 Mei: Seorang remaja perempuan dikhuatiri lemas manakala 13 yang lain terselamat selepas perahu yang dinaiki mereka karam di Sungai Mujong berhampiran Jambatan Mujung dekat sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Timoty Barat berkata berkata mangsa dikenali sebagai Linsa Empih Melin berusia 17 tahun dan berasal dari Rh Geramong Nanga Sipoh, Mujong Tengah.
Menurutnya, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian sekitar jam 2.37 petang tadi.
“Berdasarkan maklumat pengadu kesemua mangsa dalam perjalanan pulang dari arah pekan Kapit menuju ke Rumah Geramong Nanga untuk meraikan Hari Gawai Dayak.
“Setiba di lokasi kejadian, perahu tersebut telah karam akibat arus deras dan terlebih muatan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Timoty memberitahu mangsa yang terselamat kemudian menghubungi ahli keluarga yang berada di pekan Kapit, sebelum menghubungi  pihak Bomba untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, mereka yang terselamat termasuk enam lelaki dewasa, dua perempuan dewasa dan lima kanak-kanak.
Bagaimanapun, katanya, hasil perbincangan dengan pihak polis dan ahli keluarga, operasi mencari dan menyelamat (SAR) tidak dapat dijalankan ekoran jalan raya sesak di pekan Kapit serta keadaan cuaca menyebabkan bot penyelamat tidak dapat dibawa ke lokasi kejadian.
Difahamkan, operasi SAR akan dimulakan esok pagi.