JAKARTA, 30 Mei: Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi universiti pertama di Malaysia dipilih Kementerian Agama Indonesia (Kemenag) untuk bekerjasama di peringkat sarjana muda bersama lima Universiti Islam Negeri (UIN) di sini.
Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan berkata jalinan kerjasama itu akan menyaksikan Kemenag akan menaja belajar Indonesia untuk melanjutkan pelajaran dalam program berkaitan.
“Pelajar yang layak akan menerima tajaan biasiswa untuk menyambung pengajian dan menimba pengalaman di peringkat antarabangsa selain menyediakan insan holistik, menjadi pemimpin profesional dan pendidik,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, menurutnya majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) dilancarkan antara UUM dan 5 UIN di sini hari ini.
Beliau juga berkata, kerjasama itu membuktikan kekuatan kedua-dua negara dalam membina tamadun lebih baik yang telah diterokai sejak sekian lama.
Seramai 100 pelajar yang merupakan kumpulan pertama akan berdaftar bagi kemasukan September 2023 yang akan melibatkan Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) dan Pusat Pengajian Pendidikan (SOE).
Kerjasama ini turut disaksikan Pengarah Pendidikan Islam Kementerian, Prof Dr Muhammad Ali Ramdhani dan Zulfadhli Bin Hamzah, Education Malaysia-Indonesia (EMI). -TVS