KUCHING, 30 Mei: Perancangan Kerajaan Sarawak membangunkan teknologi hijaunya telah mencuri perhatian China Energy International Group Co., LTD. iaitu sebuah syarikat dari negara China, untuk memperkukuh kerjasama sedia ada.
Presidennya Qiao Xubin berkata, Sarawak mempunyai sumber tenaga yang terbaik dan idea Kerajaan Sarawak yang terkedepan membuatkan pihaknya yakin untuk bekerjasama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.
“Dengan pengetahuan yang kami ada dalam bidang ini, China Energy boleh menyokong Kerajaan Sarawak untuk mencapai perancangan pembangunan teknologi hijau. Jadi kami percaya matlamat tersebut akan dapat dicapai di masa akan datang.
“Kami boleh bekerjasama dari segi teknologi, penyelidikan dan pembangunan, pembinaan projek dan operasi serta penyelenggaraan dengan cara yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, di sini pada Selasa.
Hasil pertemuan hari ini, kata Qiao Xubin, Abang Johari malahan telah menunjukkan minatnya untuk terus menjalin kerjasama memandangkan sebelum ini China Energy juga pernah mengambil bahagian dalam beberapa projek di Sarawak seperti storan kuasa yang pertama (First Power Storage).
“Kita juga telah menandatangani kontrak tersebut dan projek akan dimulakan secepat mungkin,” ujarnya. – TVS