IPOH, 30 Mei: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyatakan komitmen mengangkat martabat pengamal media dan berusaha memudahkan urusan golongan itu.
Dalam catatan di laman Facebooknya, sambil mengucapkan selamat Hari Wartawan Nasional (HAWANA) kepada penggiat media, Fahmi mengimbas kembali peristiwa pihak media bertungkus lumus bekerja ketika bencana tanah runtuh di Batang Kali, Selangor, Disember tahun lalu.
Fahmi berkata, dia sendiri menyaksikan pengorbanan luar biasa golongan media yang membuat liputan ketika itu demi menyampaikan maklumat kepada khalayak.
“Antara bencana yang berlaku baru-baru ini adalah tragedi Batang Kali. Saya belum dua minggu menjadi menteri masa itu.
“Ketika itu, pihak pengamal media berkampung selama berhari-hari hanya untuk melaporkan status terkini pada rakyat. Saya lihat sendiri pengorbanan luar biasa mereka,” katanya.
Bertemakan “Media Bebas, Tunjang Demokrasi” HAWANA 2023 dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya di sini pada Ahad.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939. – TVS