KUCHING, 30 Mei: Jalan masuk menuju ke pusat bandar Kapit sesak sejak semalam (29 Mei) seperti yang tular di media sosial.
Kesesakan itu dikatakan susulan pertambahan jumlah kenderaan susulan warga Kapit pulang ke kampung bagi meraikan Hari Gawai Dayak pada 1 Jun ini.
Seorang penonton TVS yang hanya mahu dikenali sebagai Jugo, mengirimkan video pendek situasi jalan yang menghubungkan Kapit ke Sibu.
“Hari ini dah ok sikit jika dibandingkan dengan semalam. Kenderaan bergerak secara perlahan memasuki pasar Kapit sejauh kira-kira 1.5 kilometer,” katanya ketika dihubungi TVS.
Sebelum ini, warga Kapit dan kawasan sekitarnya menggunakan perkhidmatan bot ekspres sebagai pengangkutan ke Sibu.
Laporan media sebelum ini menyatakan Jalan Sibu – Kapit sepanjang 110 kilometer dengan kos RM800 juta itu, siap dibina pada Oktober 2020.
Dari segi pemanduan pula, hanya memerlukan sekitar dua jam setengah atau tiga jam pemanduan ke Bandar Kapit jika dari Sibu.
Pada Oktober 2020, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menunggang motosikal berkuasa tinggi dari Sibu ke Kapit secara konvoi. – TVS