KUCHING, 29 Mei: Kerajaan Sarawak berhasrat menganjurkan persidangan kewartawanan peringkat antarabangsa dalam usaha meningkatkan kualiti laporan pengamal media tempatan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau mahu melahirkan wartawan yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu.
Menurutnya, melalui persidangan itu kualiti laporan termasuk latihan praktikal dari pelbagai universiti di Sarawak dapat mencapai tahap standard yang diperlukan.
“Kita mahu juga wartawan yang mempunyai latar belakang Sains untuk melapor berkenaan alga, apabila melaporkan berkenaan alga, kita mahu wartawan itu fasih berkenaan alga, bagaimana Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) dikeluarkan, apakah lipid dan bagaimana ia mengeluarkan SAF.
“Ini bermakna anda mesti mempunyai wartawan yang berlatar belakangkan Sains kalau tidak laporan salah. Dari sudut ekonomi, kewangan, kita juga mahukan wartawan yang mempunyai latar belakang dalam kewangan korporat supaya laporan yang disampaikan betul,” katanya di Majlis Jamuan Teh Sempena Hari Wartawan Nasional 2023 Sarawak hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak, Datuk Abdullah Saidol, Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee dan Pengerusi Sarawak Media Group Dato Norhyati Ismail.
Dalam pada itu, beliau berkata, Sarawak kini mempunyai ekosistem yang kukuh dengan memiliki stesen TV sendiri untuk menyampaikan berita dan maklumat dari Sarawak.
“Sarawak sudah mempunyai keseluruhan ekosistem dalam masa empat tahun. Kita ada stesen TV kita sendiri iaitu TVS, yang kita buat sendiri. Kalau dahulu kita bergantung kepada RTM. Sekarang kita ada TV kita sendiri, dan keduanya kita ada UKAS, kumpulan media kita sendiri,” ujarnya.
Hari Kewartawanan Nasional yang jatuh pada 29 Mei kali ini disambut meriah oleh seluruh pengamal media melalui anjuran Festival Mini HAWANA 2023 di Perak yang menjadi tuan rumah sambutan tahun ini.
Tahun ini, buat julung kalinya Sarawak menyertai festival berkenaan dengan mempromosikan organisasi media yang ada di Sarawak. – TVS