BANGKOK, 29 Mei: Walaupun usianya baru mencecah 16 tahun, peserta muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar sentiasa menyematkan azam untuk meraih kontrak berprestij ONE Championship bernilai US$100,000 dan merangkul tali pinggang kejuaraan.
Meneruskan aksi menakjubkan dalam siri ONE Championship, Muhammad Johan atau lebih dikenali sebagai “Jojo” telah menampilkan satu lagi persembahan mengagumkan dalam kejohanan itu pada Jumaat.
Peserta muda Malaysia itu berjaya menarik perhatian penonton apabila melepaskan pukulan knockout (KO) terhadap lawannya, Tai Sor Jor Piek Uthai, 24, juara dunia muay Thai dua kali di Stadium Lumpinee.
“Sasaran saya untuk mendapatkan kontrak ONE Championship bernilai US$100,000 tetapi matlamat utama saya untuk bergelar juara ONE Championship,” katanya kepada Bernama.
Johan yang mewakili Kelab Muay Thai Rentap turut meraih Bath 350,000 (RM46,000) untuk pukulan knockout kedua berturut-turut. Pada Februari lepas, Johan mengejutkan peminat melakarkan penampilan sulung menakjubkan apabila hanya mengambil masa 16 saat untuk menumbangkan lawannya dari Thailand, Padetsuk Fairtex, 18, dalam pertarungan Flyweight Muay Thai.
“Saya rasa tali pinggang ONE Championship ditakdirkan untuk saya. Saya adalah masa depan,” katanya kepada orang ramai di Stadium Lumpinee selepas memenangi pertarungan itu pada Jumaat.
Johan sekali lagi memberikan aksi yang mengujakan, mempamerkan kemahiran dan keazamannya untuk memastikan kemenangan.
Walaupun mengalami luka berdarah di bahagian kepala dan ejekan berterusan daripada Tai yang mempamerkan provokasi “melampau” apabila menjelirkan lidah, namun gagal menghentikan aksi Johan apabila memberi tumbukan padu tanpa henti.
Beliau menumbangkan lawannya selepas memberi tumbukan padu menyebabkan Tai jatuh dan keluar.
“Menyedari luka pendarahan itu, pengadil boleh hentikan pertarungan pada bila-bila masa. Jadi saya berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan kemenangan pantas,” katanya.
Mengenai impiannya untuk meraih kontrak dan tali pinggang ONE Championship, Johan mengakui keraguan menyelubungi hasratnya.
“Beberapa tahun yang lalu orang menganggap impiannya untuk bertanding dalam ONE Championship terlalu hebat. Kini impiannya itu telah menjadi kenyataan.
“Sekarang saya mengejar matlamat baharu. Saya faham keraguan mungkin akan timbul semula. Namun begitu, saya komited sepenuhnya untuk memberikan yang terbaik dan membuktikan mereka yang ragu-ragu itu adalah salah,” katanya.
Johan mengucapkan terima kasih kepada ibu bapanya atas sokongan yang tidak berbelah bahagi sepanjang perjalanan beliau dalam tempoh enam tahun lepas.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada jurulatihnya, Addy Singpayak yang konsisten memastikan latihannya kekal berada di landasan yang betul. – TVS