KUCHING, 29 Mei: Pindaan kepada Ordinan Bangunan Sarawak akan dibentang pada Oktober ini, menurut Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Katanya, beliau akan bekerjasama dengan Peguam Negeri Sarawak dalam memperjuangkan ordinan ini kepada petugas di Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak yang telah menjalankan tugas dengan baik.
“Saya ingin pindaan ini dibentang secepat yang mungkin untuk memperhalusinya dalam membawa Sarawak ke negeri yang progresif.
“Mereka (Peguam Negeri Sarawak) juga dalam masa sama membantu dalam memperjuangkan autonomi kesihatan dan pendidikan seperti yang terdapat dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya kepada media ketika sidang media Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Sambutan Hari Gawai Dayak Tahun 2023 dan Pre-Launching “Malaysia Day Community Fun Run 2023 di Farley Mall hari ini.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempat Sarawak itu berkata, beliau akan berbincang dengan Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyediakan kategori baharu.
“Kerajaan Sarawak akan mengusulkan cadangan ini kepada KPKT untuk kerja pemasangan pengesan asap yang harus berada di setiap rumah,” katanya lagi.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah JBPM Sarawak Datu Khirudin Drahman dan Pengerusi Yayasan Farley, Eijing Lau. – TVS