KUCHING, 29 Mei: Media memainkan peranan melaporkan berita yang tepat dan benar terutama sekali apabila berkait rapat dengan hal-hal membabitkan kerajaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, persepsi yang dibentuk oleh seseorang wartawan adalah penting dalam memastikan laporan yang disampaikan tidak menjejaskan imej Sarawak.
“Adakala kita menyampaikan mesej yang salah dan adakala yang betul. Ia bergantung kepada bagaimana anda menyampaikannya dan inilah mengapa laporan kita ialah pada asasnya memberikan maklumat dan cara memberi maklumat. Bergantung kepada niat anda. Kalau niat nak memfitnah, anda akan cipta persepsi yang negatif.
“Kalau niat baik, anda akan nyatakan fakta. Hari ini saya nampak bahawa keadaan ini, persepsi ini senang kita buat dengan pelbagai cara dan beberapa sudut,” katanya ketika berucap di Majlis Jamuan Teh Sempena Hari Wartawan Nasional 2023 yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Selain itu mengambil perbezaan media arus perdana dahulu dan kini jelasnya, media kini bukan sahaja muncul dalam bentuk cetak malah turut berleluasa dalam bentuk digital dan hal ini mampu mengubah persepsi orang ramai terhadap sesuatu perkara.
“Dahulu kita hanya ada media cetak sahaja dan tiada orang komen. Media cetak apabila keluar dalam surat khabar, terhenti di situ sahaja. Tetapi media (kini) komen lagi banyak. Ada pihak lebih pintar dari mereka yang membuat laporan itu. Inilah yang berlaku. Sebab itu persepsi sangat penting. Kadang-kadang kita perlu membuat penjelasan supaya mereka yang menerima maklumat dapat menerima fakta yang sebenarnya,” ujarnya.
Sempena Hari Kewartawanan Nasional 2023, beliau turut menekankan adalah penting untuk pengamal media terus menjaga kredibiliti serta bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat yang sahih. – TVS