GEORGE TOWN, 29 Mei: Polis menumpaskan satu kegiatan memproses dan mengedar dadah jenis heroin selepas menahan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Seberang Jaya dekat sini, Khamis lalu.
Pada operasi bermula kira-kira 2 petang itu, kira-kira 7.4 kilogram (kg) dadah jenis heroin yang ditemui di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza turut dirampas.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, suspek lelaki berusia 40 tahun tersebut ditahan di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat yang didiami bersama kakaknya.
Ujarnya, hasil siasatan kemudiannya menemui beberapa peralatan memproses dadah di dalam rumah berkenaan selain kakak suspek turut berada di rumah.
“Kemudiannya, polis memeriksa sebuah Perodua Alza yang diletakkan di tepi jalan kira-kira 600 meter dari rumah berkenaan sebelum menemui kira-kira 7.4 kg dadah disyaki heroin.
“Dadah dianggarkan bernilai RM61,420 yang dibungkus dalam satu plastik lutsinar tersebut diletakkan di bahagian belakang kenderaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.
Suspek direman selama seminggu sehingga Khamis depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Suspek yang positif ujian saringan air kencing dan memiliki 12 rekod berkaitan kes dadah itu dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan berkenaan sejak awal 2023.
“Polis turut merampas wang tunai RM5,050 dan kereta jenis Honda Accord bernilai RM20,000 bersama MPV serta dadah berkenaan yang menjadikan nilai sitaan berjumlah RM88,470,” katanya. – TVS