PENAMPANG, 29 Mei: Kerajaan komited dalam mewujudkan kemampanan dan kesejahteraan rakyat di bawah nilai Malaysia Madani.
Menteri Pembangunan Usahawanan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata kemampanan itu perlu disediakan menerusi perkhidmatan perbankan secara holistik yang mampu memenuhi kehendak setiap pelanggan.
Beliau berkata institusi perbankan dapat membantu mewujudkan ekosistem ekonomi dan pelaburan yang kondusif meningkatkan keyakinan pelabur serta usahawan di seluruh negara.
“Usaha ini sejajar dengan aspirasi Kerajaan Malaysia Madani untuk memperluaskan rangkuman kewangan dan memperbanyakkan akses kepada produk perbankan khusus bagi golongan B40,” katanya pada majlis perasmian Bank Rakyat Cawangan Penampang di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr. Mohammad Hanis Othman.
Dalam pada itu beliau menyeru Bank Rakyat agar terus gigih dan komited dalam memacu kemakmuran ekonomi anggota, pelanggan dan negara bangsa dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi dan pertumbuhan negara.
“Adalah menjadi harapan kerajaan, Bank Rakyat terus memberi fokus kepada inisiatif pembangunan usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil terutamanya kawasan luar bandar di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Ini adalah inisiatif yang telah digariskan di bawah perancangan Belanjawan 2023 yang dapat dimanfaatkan oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi di semua peringkat kumpulan sasar,” katanya. – TVS