MIRI, 29 Mei: Bandar raya Miri wajar dijadikan contoh dari aspek kemajuan penggunaan teknologi digital dalam perkhidmatan dan pengurusan kendalian Majlis Bandaraya Miri (MBM), sesuai dengan jolokan sebagai bandar pintar.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata penggunaan teknologi di bandar raya ini membabitkan pengurusan taman-taman yang dilengkapi dengan peralatan terkini dan isyarat dihantar ke pusat arahan sekiranya berlaku kecemasan dan dengan serta-merta masalah dapat diselesaikan.
“Kita bekerjasama dengan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) untuk melengkapkan Miri dengan peralatan canggih supaya pengurusan bandar raya Miri dari sudut budaya dan perhubungannya dengan warga di sini, dapat dirapatkan lagi dengan aplikasi tertentu,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Miri City Council MayFest 2023, di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin dan Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang.
Menurutnya, MBM telah menerima pakai Program Bandar Pintar Miri pada 15 Mac 2021 dan menggunakan aplikasi teknologi digital.
MBM telah menyediakan perkhidmatan cemerlang dan memberi manfaat kepada warga bandar raya ini. MBM juga memiliki bangunan ditauliahkan sebagai Status Indeks Bangunan Hijau (GBI) Bertauliah dan ini setaraf dengan standard antarabangsa.
Sesuai dengan status bandar raya pintar, Abang Johari mahu warganya mengamalkan sikap positif dalam pelbagai aspek.
“Jika Miri digelar sebagai ‘International City’ atau bandar raya antarabangsa, sudah tentu standardnya juga perlu bertaraf antarabangsa baik dari sudut kebersihan, interaksi sosial, mahupun tingkah laku yang boleh mentamadunkan masyarakatnya menerusi norma antarabangsa,” katanya. – TVS