LAWAS, 28 Mei: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengingatkan rakyat Sarawak untuk terus menolak sebarang unsur ekstremis atau perkara yang boleh memecahbelahkan perpaduan di negeri ini.
Beliau juga menegaskan bahawa sifat ketaksuban tidak mempunyai sebarang tempat di Sarawak dalam apa bentuk sekalipun.
“Kita suburkan semangat perpaduan dan jangan ada pertelingkahan dalam kalangan kita kerana kita adalah satu keluarga yang besar. Isu agama tidak menjadi satu isu kepada kita, kalimah Allah tidak menjadi isu bagi kita, tidak seperti apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia.
“Kita tegakkanlah perpaduan kita dan kita harus bekerjasama serta terus sokong-menyokong antara satu sama lain dan pastikan kerajaan ini akan terus diperintah oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipimpin Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya di Majlis Pelancaran Kembara Sarawak Merdeka sempena dengan Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka di Taman Awam Lawas hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari itu turut menggesa rakyat untuk sentiasa menanam semangat patriotisme dan cintakan negeri tanpa mengira latar belakang untuk melangkah maju ke hadapan.
“Rakyat di Sarawak kini hidup dalam keadaan harmoni dan selamat. Oleh itu, kita dapat menumpukan sepenuh tenaga usaha dalam meningkatkan kemajuan negeri serta mengelakkan daripada perpecahan.
“Kita harus sama-sama menolak apa juga bentuk ekstremis di kalangan masyarakat kita dan kita harus hormat-menghormati. Yang penting, kita harus tingkatkan ilmu pengetahuan kita, integriti kita dan kita mempunyai sikap untuk mahu maju ke depan,” katanya. – TVS