KUCHING, 28 Mei: Sarawak melakar sejarah kerana buat pertama kalinya negeri ini berjaya membuat promosi di konvensyen dan pameran perniagaan IMEX Frankfurt 2023 di Jerman dengan memiliki booth atau digelar Pavillion secara sendiri tanpa perlu berkongsi dengan mana-mana negeri lain, menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan.
Katanya lagi, sebelum ini promosi dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) di mana kesemua negeri seluruh Malaysia diperkenalkan kepada pengunjung luar negara dalam satu booth pameran yang sama.
Beliau yang baharu sahaja kembali dari Frankfurt Jerman beberapa hari lalu berkata, booth pameran Sarawak terletak bersebelahan dengan booth pameran Malaysia di mana ia berjaya mencuri perhatian pengunjung menerusi pameran dan informasi mengenai kepelbagaian etnik, bahasa, budaya dan agama yang terdapat di Sarawak.
“IMEX adalah satu tempat di mana setiap negara memamerkan (keunikan) negara masing-masing dan mempromosikan keistimewaan negara tersebut.
“Kita berjaya mempamerkan budaya kita, bangsa kita seperti Bidayuh, Orang Ulu, Orang Iban dan sebagainya. Ini telah menarik perhatian pengunjung dari luar negara untuk datang ke Sarawak,” katanya.
Perkongsian itu dimaklumkan beliau sendiri kepada pengunjung yang hadir pada program Bitanding Dayung Gawea Tematu 2023 bersempena Karnival Gawai Tematu 2023 yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Tematu malam tadi.
Antara yang hadir Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Tan Khai, Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Dato Peter Minos dan Pengerusi Pengelola Karnival Gawai Tematu 2023 John Pata.
Tegas Datuk Snowdan lagi, kejayaan dalam mendapatkan booth dan memamerkan keunikan Sarawak adalah satu perkara yang membanggakan kerana Sarawak kini tidak lagi perlu berkongsi dengan negeri lain bagi tujuan promosi di negara luar.
“Kita mempunyai bajet kita sendiri dan ini adalah kerjasama dengan Business Event Sarawak (BESarawak) yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Amelia Roziman,” katanya lagi. -TVS