KUCHING, 28 Mei: Pesta Sungai Kampung Simpok 2023 disambut meriah dengan keunikan pertandingan rakit berhias yang menampilkan para peserta berpakaian tradisional kaum Bidayuh.
Aktiviti berkenaan merupakan acara tahunan Kampung Simpok sempena menyambut ketibaan perayaan Gawai Dayak bagi Bidayuh Bisapuq pada 1 Jun ini.
Rakit dibina menggunakan buluh dan sumber hutan yang mewakili enam zon komuniti di Kampung Simpok.
Menurut Residen Serian, Selamat Jati Yanjah, tradisi warisan itu mampu memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan tempatan dengan menyediakan suasana eko pelancongan yang eksklusif.
“Perarakan rakit dan keindahan pakaian tradisional yang ditampilkan sangat mengkagumkan terutamanya dengan penglibatan belia,” ujarnya.
Tambahnya lagi, sambutan Pesta Sungai ini wajar dijadikan sebagai aktiviti tahunan terutamanya di Kuching bagi memastikan warisan kebudayaan ini sentiasa terpelihara.
Bagi Ketua Kaum Kampung Simpok, Vincent Tambang pula, Pesta Sungai itu wajar disertai golongan belia bagi memastikan golongan berkenaan meneruskan warisan tradisi supaya tidak ditelan zaman.
Pesta Sungai Kampung Simpok pertama kali diadakan tahun 2017 dan 2018 kemudian dihentikan sambutan pada tahun 2019, 2020 dan 2021 akbibat wabak COVID-19 dan disambung semula pada 2022 dan 2023.
Kampung Simpok dihuni kira-kira 3,500 penduduk daripada 850 ketua isi rumah melibatkan zon Tedontieng, Kandis, Serui, Pedat, Asong dan Reguk. – TVS