LAWAS, 28 Mei: Hasrat Kerajaan Sarawak untuk melakukan penyelidikan ke atas penghasilan alga bagi mengkomersialkan bahan api Penerbangan Mampan (SAF) membuahkan hasil sebagai bahan api alternatif untuk pesawat.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata hasil penemuan itu mengangkat Sarawak sebagai pengeluar hasil SAF bagi kapal terbang yang pertama di Malaysia.
“Selepas saya menggantikan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem pada 2017, saya mahu membuat kajian daripada lumut kerana ingin tahu apakah khasiatnya dan maka itu kajian itu telah dibuat oleh saintis dari Jepun.
“Kemudian, saya memberi peruntukan kepada mereka untuk mengkaji lumut tersebut dan hasil kerjasama mereka bersama Petronas, rupa-rupanya lumut itu mengeluarkan hasil minyak yang boleh digunakan oleh kapal terbang dan kami telah mengujinya dengan menaiki pesawat guna bahan api itu ke Langkawi,” kata beliau.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Komuniti bersama Premier Sarawak di Stadium Tertutup Lawas di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinannya sedang bertungkus-lumus mencari jalan untuk memaksimakan memperoleh hasil pendapatan untuk memajukan ekonomi Sarawak.
“Alhamdulillah, pendapatan Sarawak telah meningkat dua kali ganda dalam masa enam tahun dan tahun lepas sahaja kita sudah menjangkau hasil pendapatan kita sebanyak RM12 bilion.
“Kesemua hasil pendapatan itu akan kita berikan semula kepada, rakyat dan berkat kita menolong rakyat, saya dan rakan-rakan mencari ilham macam mana kita hendak mencari duit dan kini sudah ada ekonomi baharu iaitu penyimpanan karbon,” katanya lagi.
Pada, Isnin lalu, Abang Johari telah menaiki pesawat yang dikuasakan SAF berasaskan alga yang dihasilkan di Sarawak bagi menghadiri Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23).
Pesawat Airbaltic yang diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dengan pesawat jenis Airbus A220-300 itu berlepas ke Lapangan Terbang Antarabagsa Langkawi – TVS