JAKARTA, 28 Mei: Lebih tiga bulan di tawan, juruterbang Susi Air dari New Zealand, Philip Merthens diugut akan ditembak mati oleh kumpulan pengganas yang menggelarkan diri sebagai Tentera Pembebasan Nasional Papua Barat (TNPB).
Merthens menjadi tebusan TNPB selepas pesawat yang dikendalikannya mendarat di Nduga, kawasan terpencil di Wilayah Papua manakala pesawatnya dibakar oleh pengganas.
Dalam satu kenyataan video yang dihantar kumpulan itu, Merthens menyatakan kumpulan itu hanya memberi masa dua bulan bagi pihak kerajaan Indonesia untuk memenuhi tuntutannya.
“Mereka memberi semua negara lain dua bulan untuk meminta Indonesia bercakap dengan TNPB, jika tidak mereka akan menembak saya,” katanya.
Beliau juga menggesa Indonesia segera mengiktiraf kemerdekaan Papua supaya beliau dapat dibebaskan.
Sebelum ini, Indonesia telah melancarkan operasi ketenteraan dengan mengerahkan Tentera Nasional Indonesia (TNI) dalam usaha menyelamatkan juruterbang berkenaan, namun sehingga kini masih belum berjaya membebaskannya.
Malah, empat anggota tentera yang menyertai operasi menyelamat itu maut apabila berlaku tembak-menembak dengan kumpulan pengganas itu.
Bagaimanapun, pihak Indonesia terus berusaha menyelamatkan juruterbang itu dengan pengiraan penuh tanpa menyebabkan sebarang kemalangan jiwa. -TVS