MIRI, 28 Mei: Pelajar digalakkan melibatkan diri dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan digital kerana kerajaan sedang memfokuskan kepada ekonomi digital.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, ini bagi memberi peluang pekerjaan kepada para pelajar setelah tamat pengajian kelak.
“Sekarang kerajaan kita sangat fokus kepada ekonomi digital. Kami mendapat tahu dari tinjauan yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan kita di peringkat negeri, ramai murid Bumiputera kita yang tidak masuk kursus STEM. Ini cabaran untuk kita.
“Kita perlu cari cara bagaimana untuk meningkatkan jumlah pelajar dalam bidang STEM atau kursus berkaitan digital. Sebab kalau mereka tidak terlibat dalam kursus ini, sangat mencabar untuk mereka cari pekerjaan selepas tamat kursus,” katanya ketika berucap Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Kesyukuran Persatuan Masyarakat Saban Miri Sarawak (PMSS) 2023 di Eastwood Valley semalam.
Perkara itu juga katanya, adalah bagi memenuhi matlamat Sarawak Digital Blueprint yang baru-baru ini diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang akan menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi masa depan negeri.
Jelas beliau lagi, Kerajaan Sarawak menggalakkan pelajar terutamanya dalam kalangan Bumiputera untuk meneruskan pengajian ke Universiti Curtin, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu dan Universiti Swinburne kerana Yayasan Sarawak menyediakan biasiswa bagi mereka yang universiti ini.
“Kerajaan memang ada cara membantu pelajar cemerlang atau boleh mendapat tempat di kolej atau universiti dengan Yayasan Sarawak dan sebagainya. Mungkin ada di antara kita di sini yang tidak tahu bahawa Universiti Curtin, Universiti Teknologi di Sibu dan Universiti Swinburne di Sarawak, walaupun universiti swasta, adalah milik Yayasan Sarawak.
“Ini universitti Kerajaan Sarawak. Apabila murid masuk do ketiga-tiga universiti, Yayasan Sarawak ada menyediakan biasiswa. Kalau tidak 100 peratus, 50 peratus, asalkan kamu dapat masuk universiti ini terutamanya kalau kamu Bumiputera,” ujarnya.
Beliau turut memberitahu Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak juga disediakan bagi untuk menyediakan pendidikan tinggi percuma untuk pelajar Sarawak pada masa hadapan menjelang tahun 2030.
Majlis ini telah menyaksikan sebanyak 1,000 naskah Kampus Saban-Bahasa Melayu- Inggeris cetakan pertama dilancarkan bernilai RM10 senaskah dan seramai 92 penerima anugerah kecemerlangan dalam pelbagai kategori dari peringkat UPSR ke Sarjana.
Pada masa yang sama, Gerawat juga menyumbangkan RM20,000 kepada PMSS dan bagi Projek Transformasi Luar Bandar 2023 (RTP2023), RM200,000 untuk jalan simen dan RM100,000 untuk tempat letak kereta di lapangan terbang untuk Long Banga, RM30,000 untuk jalan simen di Long Balong dan RM450,000 untuk Jambatan Arul Batang.
Gerawat juga memuji usaha masyarakat Saban yang sentiasa memperjuangkan kepentingan masyarakat Saban sehingga berjaya memasukkan etnik Saban dalam pindaan Ordinans Tafsiran yang dilulus dalam DUN 2021 dan diiktiraf sebagai Orang Asal Sarawak serta meningkatkan penerbangan MASWings ke Long Bangan dari dua kali seminggu kepada tiga kali seminggu. –TVS