SIBU, 28 Mei: Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan enam individu yang terperangkap dalam satu kebakaran di sebuah hotel di Jalan Emplam di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 9 pagi itu, asap yang memenuhi laluan utama di tingkat satu telah memaksa kesemua mangsa bertindak keluar ke bahagian beranda dan tepi tingkap di tingkat satu hotel berkenaan.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Penguasa Kanan Bomba (PgKB 1) Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.13 pagi.
Katanya, sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi pemadaman.
“Sebaik tiba, kami mendapati berlaku kebakaran di mana terdapat kepulan asap serta api keluar dari bahagian tingkap bilik hotel di tingkat satu dan kawasan sekeliling turut dipenuhi oleh asap.
“Terdapat dua lelaki dan empat perempuan dewasa berada di bahagian beranda luar hotel dan di tepi tingkap bilik hotel. Pasukan keluaran operasi terus bertindak menyelamat kesemua mangsa menggunakan tangga,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran 200 kaki satu nozel dan dua salur bantu sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Menurutnya, kesemua mangsa selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Andy berkata, pemantauan dan pemeriksaan turut dilakukan ke atas semua bilik hotel tersebut bagi memastikan semua penghuni telah berjaya keluar.
“Akibat kebakaran itu, hotel berkenaan telah terbakar 30 peratus yang melibatkan sebuah bilik hotel dan ruang kaunter sahaja,” jelasnya.
Operasi ditamatkan pada jam 10.23 pagi setelah pasukan keluaran operasi memastikan keadaan sekeliling selamat.-TVS