BINTANGOR, 27 Mei: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar memburu ditemui meninggal dunia kira-kira jam 5.30 petang Jumaat.
Mangsa Egoh Empili, 64, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira satu kilometer dari rumah panjangnya di Ulu Pedanum Pakan.
Sehubungan itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Penolong Penguasa Bomba Nicholas Belulin ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
“Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di pohon kayu dalam keadaan tidak sedar diri. Mayatnya juga dalam keadaan sempurna dan lengkap berbaju.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sarikei, untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Sebelum itu, menurut Nicholas, Tigoh dilaporkan keluar ke hutan untuk pergi memburu kira-kira jam 2 petang Khamis.
Bagaimanapun ujarnya warga emas itu dilaporkan tidak kembali ke rumah sebelum laporan kehilangannya dibuat oleh keluarga mangsa.
“Operasi mencari mangsa turut dibantu oleh penduduk kampung. Setakat ini, punca kematian mangsa belum diketahui,” ujarnya. – TVS