Ganja yang dirampas dalam serbuan pada awal pagi Rabu. Foto: TVS

Suspek ketiga ditahan berkaitan rampasan dua pokok ganja di Sibu

SIBU, 27 Mei: Polis telah menahan seorang lagi suspek lelaki susulan penahanan dua adik-beradik berhubung rampasan dua batang pokok ganja di sini Khamis lepas.

Suspek berusia 24 tahun merupakan anak kepada wanita yang ditahan bersama abangnya di sebuah rumah di Lorong Rambai pada 24 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, suspek ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu di perkarangan Mahkamah Sibu pada jam 9 pagi pada 25 Mei lalu.

“Tangkapan ke atas suspek adalah bagi membantu siasatan kes susulan rampasan dua batang pokok ganja daripada pasangan adik-beradik iaitu seorang lelaki berusia 55 tahun dan adik perempuannya berusia 50 tahun.

“Suspek (suspek ketiga) tidak mempunyai rekod lampau berkaitan dadah namun ujian saringan awal polis ke atas air kencing suspek didapati positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC) ganja,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Seorang ditahan bantu siasatan rampasan dua pokok ganja.

Dedahnya lagi, suspek telah direman selama empat hari sehingga 30 Mei ini bagi membantu siasatan lanjut yang dijalankan dibawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.

“Hukuman dibawah Seksyen 6B ADB 1952 adalah hukuman penjara seumur hidup dan dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada enam sebatan jika sabit kesalahan.

“Manakala bagi kesalahan dibawah Seksyen 15(1) (a) ADB 1952 denda tidak melebihi RM5,000 dan penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali dan pengawasan selama dua tahun dibawah Seksyen 38B ADB 1952,” jelas beliau.

Pada 24 Mei lalu, dua suspek dicekup polis dalam satu serbuan di Lorong Rambai pada jam 12.15 tengah malam.

Pemeriksaan lanjut di lokasi serbuan turut menjumpai dua batang pokok ganja dan satu beg plastik hitam mengandungi tanah dan dedaun kering dipercayai dadah jenis ganja bernilai keseluruhan RM20,000.

Sebuah kereta jenis Honda bernilai RM80,000 turut disita dalam serbuan tersebut. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan