LAWAS, 27 Mei: Sarawak berhasrat mewujudkan jaringan landasan kereta api, Rentas Borneo atau Trans Borneo Railways yang akan merentasi Kepulauan Borneo.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata cadangan projek yang akan melibatkan Sabah, Brunei dan Kalimantan, Indonesia itu telahpun dimajukan kepada Kerajaan Persekutuan menerusi pertemuan bersama Kementerian Pengangkutan di sini.
“Kita telah diberi taklimat oleh Kementerian Pengangkutan mengenai dengan cadangan ini dan satu kajian akan dibuatkan oleh pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia berhubung cadangan untuk kita mempunyai Trans Borneo Railways yang akan juga menjurus Sabah dan juga kita akan bersambung di Kalimantan, Indonesia.
“Saya rasa sudah tiba masanya untuk kita mewujudkan Trans Borneo Railways dan ia akan memberi impak ekonomi yang tinggi di Sarawak,” kata beliau.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Negeri Bil.3/2023 serta selepas membuat lawatan kerja ke tapak projek di sekitar Lawas di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa satu perbincangan tiga hala Malaysia, Brunei dan Indonesia akan berlangsung dalam masa terdekat berhubung cadangan berkenaan.
Sementara itu, Abang Johari juga mendedahkan Kerajaan Sarawak akan menilai semula cadangan dan mengkaji bagi mewujudkan sebuah bahagian baharu melibatkan Limbang, Lawas dan Baram.
“Ada juga dicadangkan dahulu supaya kita membuat kajian penubuhan bahagian yang melibatkan Lawas, Limbang dan berkemungkinan kawasan lain seperti Baram.
“Jadi, ini akan dibuat oleh pihak pentadbiran di bawah Setiausaha Kerajaan Sarawak untuk membuat kajian kewujudan bahagian baharu,” katanya lagi.
Jelas beliau daerah baharu akan diwujudkan susulan dengan penubuhan sebuah bahagian baharu itu nanti.
Pewujudan daerah itu nanti tegas Abang Johari bakal memberi pendekatan pembangunan yang holistik serta membawa kesan positif kepada tadbir urus bahagian-bahagian terlibat. – TVS