MIRI, 27 Mei: Kemajuan projek fasa satu Lebuhraya Pan Borneo telah mencapai 94 peratus siap dan ia tidak merangkumi Lebuhraya Pan Borneo Pakej WPC11 Jaringan Sungai Tangap–Simpang Pujut.
Menurut Menteri Kerja Raya Malaysia, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, pengecualian berikut disebabkan laluan tersebut mempunyai isu tertentu melibatkan projek jejambat dan utiliti pengaliran paip air.
“Kita dah umum Fasa 1 Pan-Borneo dah capai 94 peratus siap. Tapi untuk projek jejambat ini dan empat kilometer lagi yang terlibat dengan pengaliran paip air, kita tak masuk untuk 94 peratus yang siap sebab ini kita ambil sebagai yang ada isu tertentu.Â
“ni akan siap juga. Isu yang penting ini adalah kita gunakan kaedah membina jambatan darat yang kita panggil jejambat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa lawatan Tapak Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Seksyen Lambir WPC11 di sini pada Sabtu.
Setakat ini ujarnya reka bentuk jejambat telah disiapkan dan kerja-kerja pembinaan jejambat berkenaan dijangka bermula pada suku ketiga tahun 2023 dan dijangka siap pada tahun 2025, dengan kepanjangan jejambat pada 400 meter.
Jelas beliau semasa kerja pembinaan tambakan jalan dilakukan, tanah yang ditambak telah mengalami masalah mendapan tanah sehingga 0.5 meter, lantas pasukan Projek Pan Borneo telah mengesyorkan supaya struktur jejambat dibina di atas jajaran laluan bagi mengelak masalah berlaku pada masa hadapan.
“Tapak ini tanah lembut, tidak dapat kita bina seperti biasa. Sebab itu untuk memastikan jalan ini boleh digunakan secara selamat, lancar dan selesa untuk pengguna, maka kerajaan teruskan menyiapkan ini dengan jejambat, iaitu jabatan darat melalui tanah lembut bagi mengelak masalah pada masa hadapan,” ujarnya.
Secara keseluruhan, menurut Nanta lagi peratus kemajuan fizikal sebenar pakej WPC 11 adalah 89 paratus namun tidak termasuk pembinaan jejambat dan pengalihan utiliti paip bekalan air sekitar empat (km), dan dijangka siap secara berperingkat pada tahun 2023 hingga 2026.
“Kerja-kerja pembinaan jejambat ini tidak akan mengganggu trafik kerana pengguna masih boleh menggunakan jalan sedia ada di bersebelahan,” jelasnya.
Sehubungan itu, Nanta  menasihati agar pengguna jalan raya yang akan pulang ke kampung halaman bagi meraikan Hari Gawai agar berhati-hati ketika memandu di lebuh raya bagi mengelakkan kemalangan tau sebarang insiden tidak diingini. – TVS