KUCHING, 27 Mei: Kaum Melanau yang mempunyai kepelbagaian etnik menyaksikan masyarakatnya hidup dengan majmuk sekali gus mempamerkan keunikan kaum itu, kata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Sumber Asli Datuk Len Talif Salleh.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata ketika ini kaum berkenaan terdiri daripada 40 jenis etnik iaitu dianggap sebagai ‘abang’ dan ‘kakak’ di dalam sebuah keluarga besar kaum Melanau.
“Kita bawa kaum lain juga ke dalam keluarga kita. Melanau boleh jadi Melayu, boleh jadi Cina, boleh jadi Iban dan sebagainya.
“Kaum Melanau adalah satu kaum yang pelbagai. Walaupun berbeza agama, budaya dan bahasa, unity dan diversity diterapkan dalam kalangan masyarakat Melanau,” katanya.
Len Talif berkata demikian pada Majlis Pededun Rayak dan Pra Gawai 2023 anjuran Persatuan Melanau Kuching di Wisma Melanau, di sini hari ini.
Antara hadir Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Kaum Melanau Sarawak Datuk Aidan Wing dan Presiden Persatuan Melanau Sarawak Fridah Osman.
Menerusi kepelbagaian yang ada Len Talif berharap kaum Melanau akan terus diperkasakan menerusi pembangunan beberapa program sosial yang bakal dikendalikan oleh Persatuan Melanau Sarawak.
“Pagi ini merupakan titik permulaan ke arah itu dengan sumbangan RM 50,000 akan diberikan bagi pembangunan program sosial untuk memperkasakan kaum Melanau,” ujarnya dalam ucapan. -TVS