KUCHING, 27 Mei: Masyarakat diseru agar mengiktiraf nilai alam persekitaran dan kepelbagaian sumber biodiversiti yang merupakan platform untuk menyediakan persekitaran yang selesa kepada generasi akan datang.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata dalam memperkasakan pemahaman mengenai kepentingan sumber tersebut, kemajuan dalam Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) penting dalam usaha merungkai misteri alam semula jadi serta memberikan perspektif pandangan baharu dalam memacu usaha pemulihan alam yang lestari.
“Pendedahan aktiviti R&D bersama pengetahuan tradisional yang meliputi pelbagai displin perlu dipamerkan dengan cara yang menyeronokkan dan bertujuan untuk mendidik.
“Ini bagi menyemarakkan rasa ingin tahu serta keterujaan di kalangan orang ramai dan pelajar sekolah sekaligus memupuk pemahaman serta penghayatan yang lebih mendalam terhadap ilmu-ilmu tersebut,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran SBC Biodiversity Day di sini pada Sabtu.
Sambutan tersebut yang bertemakan ‘From Agreement to Action: Build Back Biodiversity” bertujuan untuk menggalak dan menyokong Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal serta perkongsian manfaat bersama komuniti.
Sehubungan itu kata Roland, pendekatan yang menarik dan berunsurkan pendidikkan melibatkan kepelbagaian kaedah R&D berupaya mencetuskan minat seterusnya memberikan inspirasi kepada golongan pereka pada masa akan datang.
Tegas beliau, perkara itu menjadi antara matlamat utama kementerian beliau dalam usaha melahirkan lebih ramai kepakaran tempatan dalam pelbagai bidang sains, teknologi, matematik dan kejuruteraan (STEM). – TVS