SRI AMAN, 26 Mei: Tiga maut dalam kemalangan membabitkan pertembungan dua kereta di kawasan berdekatan kuari Maruk, Jalan Sri Aman-Engkilili dekat sini, petang semalam.
Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sarawak berkata mereka yang terkorban, Pauline Simba Jua, Carlos Nelson dan Elizabeth Jua yang menaiki kereta Perodua Viva.
Pauline dan Carlos (pemandu) meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Elizabeth meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Engkilili. Seorang lagi mangsa dalam kenderaan yang sama, cedera parah.
Tiga mangsa yang menaiki kereta Proton Saga juga cedera parah.
“Akibat dari pertembungan tersebut terdapat empat mangsa tersepit di dalam Perodua Viva. Dua mangsa iaitu penumpang di bahagian belakang telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum kehadiran bomba dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya PGO dalam satu kenyataan.
Dua mangsa yang merupakan pemandu dan penumpang di hadapan tersepit dikeluarkan oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman.
PGO berkata, dua mangsa dalam Proton Saga tersepit di bahagian tempat duduk hadapan dan seorang penumpang belakang cedera parah.
“Kesemua tiga mangsa (dalam Proton Saga) seterusnya dihantar ke hospital manggunakan jentera EMRS bomba dan ambulans KKM,” katanya.
Bomba menerima panggilan pada 6.38 petang dan menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman ke lokasi. – TVS