BUKIT MERTAJAM, 26 Mei: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 1,557 pek minyak masak bersubsidi 1 kilogram (kg) yang disorokkan di dalam sebuah rumah menerusi operasi di Taman Seri Tambun, Simpang Ampat di sini semalam.
Pada serbuan kira-kira pukul 1.50 tengah hari yang turut disertai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) itu, seorang suspek lelaki berusia 50-an yang merupakan pemilik premis turut ditahan.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, pihaknya menemui 1,557 kg minyak masak tersebut yang bernilai RM3,892.50 di kawasan ruang tamu rumah.
Ujarnya, semakan mendapati suspek mempunyai permit barang kawalan berjadual untuk menyimpan minyak masak di kedai runcitnya, namun melakukan kesalahan dengan meletakkannya di rumah.
“Ikut permit, dia hanya boleh simpan 500 kg minyak masak di kedai runcit, namun pemeriksaan menemui jumlah berganda.
“Lelaki warga tempatan itu turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Stor Eksibit KPDN, Bukit Minyak di sini hari ini.
Tambah Jegan, pihaknya mendapati suspek telah mempamerkan notis tiada bekalan minyak masak paket bersubsidi di kedai runcitnya.
“Hasil penyamaran pegawai kita mendapati dia memberi alasan tiada bekalan minyak masak paket setiap kali pelanggan mahu membelinya.
“Namun, siasatan awal mendapati ia disorok dipercayai untuk dijual kepada pasaran luar dengan harga yang lebih tinggi,” katanya lagi.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – TVS