Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Uggah (tengah) ketika ditemui pemberita pada lawatan kerja ke projek pembinaan Jambatan Sungai Kedua Limbang hari ini. Foto: TVS

Sarawak serius tangani projek sakit – Uggah

LIMBANG, 26 Mei: Kerajaan Sarawak serius dalam menangani masalah projek sakit di seluruh negeri dengan memastikan agar pihak kontraktor dapat menyiapkan projek mengikut jadual yang ditetapkan, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurut beliau,  Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sering kali mengulangi komitmennya agar segala projek pembangunan yang dilaksanakan dapat dinikmati rakyat di bandar dan luar bandar.

Projek jambatan kedua sungai Limbang rancak dibina. Foto: TVS

Malah kata beliau syarat yang lebih ketat akan dibuat dalam pemberian kontrak dan langkah tegas itu di ambil kerana kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serius menangani masalah projek sakit.

“Bagi Kerajaan Persekutuan proses penamatan kontrak dan mendapatkan kontraktor baharu adalah sangat rumit. Di negeri kita, sistem kita sangat lancar sekarang, sangat jelas garis panduan (SOP), dengan cara itu kami berjaya menangani projek yang sakit dan hanya tinggal 14 lagi projek sakit di Sarawak.

“Kita juga ke lapangan untuk memastikan kontraktor menyiapkan projek,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan lawatan kerja ke Projek Integrated Administrative Centre (IAC) limbang dan Projek Jambatan Kedua Sungai Limbang hari ini.

Turut sama ialah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang.

Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Dua serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata Kerajaan Sarawak turut membelanjakan RM11 bilion untuk membangunkan infrastruktur seperti jalan dan utiliti di negeri ini.

Menurutnya peruntukan RM11 bilion itu akan dibelanjakan untuk membina jalan raya, jambatan, menyediakan bekalan air dan elektrik di seluruh Sarawak dan RM9 billion lagi dibelanjakan untuk projek rakyat.

“Kerajaan negeri banyak melaksana projek jalan pesisir dan luar bandar sebanyak RM 11 bilion dan bekalan air dan elektrik di seluruh Sarawak RM9 bilion, itu semua disediakan oleh Premier Sarawak kita yang memang komited untuk menghubungkan semua kawasan dengan jalan supaya aktiviti ekonomi, pelancongan dan sebagainya dapat dihidupkan,” katanya.

Dalam pada itu beliau mendedahkan setakat ini terdapat kira-kira 34 projek sakit di Sarawak iaitu daripada jumlah itu 20 adalah projek Kerajaan Persekutuan dan 14 di bawah kerajaan negeri.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan