KUALA LUMPUR, 26 Mei: Jabatan Penjara membenarkan keluarga penghuni penjara untuk membuat lawatan sempena Hari Gawai dan Pesta Kaamatan di seluruh institusi penjara Sarawak dan Sabah pada 3 dan 4 Jun ini.
Jabatan Penjara dalam kenyataan hari ini memaklumkan waktu lawatan adalah bermula pada 8.15 pagi hingga 4.15 petang.
“Pelawat diminta membuat ujian RT-PCR atau ARTK-Ag (swab/air liur) dalam sah laku tiga hari selepas pengambilan sampel dan tidak bergejala sebelum hadir ke institusi berkenaan
“Pelawat juga diminta membawa kad lawatan serta kad pengenalan bagi memudahkan urusan,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, pelawat adalah tertakluk kepada Akta dan Peraturan Penjara yang membolehkan pihak penjara membuat pemeriksaan fizikal ketika pelawat masuk dan keluar dari penjara.
Jabatan Penjara memaklumkan perjumpaan secara dalam talian pula akan dilaksanakan selama tiga hari iaitu mulai 6 Jun hingga 8 Jun ini.
“Ini bertujuan bagi memberi peluang kepada keluarga yang tidak dapat hadir ke penjara untuk perjumpaan bersemuka,” menurut kenyataan itu. – TVS