Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di masjid itu pada 7.20 malam dan disambut oleh dua tokoh ulama besar dunia Islam iaitu bekas Mufti Agung Mesir Syeikh Profesor Dr Ali Juma’ah Al Azhari serta Pengasas dan Pengetua Dar Al Mustofa di Tarim, Yaman iaitu Habib Umar Bin Muhammad Bin Salim Ben Hafidz.
Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah disusuli program bacaan maulid.
Anwar dalam ucapannya berkata program itu memberi peluang kepada umat Islam yang hadir untuk bersama-sama mendengar kupasan penuh hikmah dan bijaksana oleh dua ulama tersohor berkenaan.
“Dalam mukadimah mengatakan inilah maksud negara MADANI, kembali kepada asas, menjadikan masjid sebagai pangkalan dari segi ibadah serta ilmu, dan meletakkan semua dasar pendidikan, ekonomi, dengan semangat ihsan dan berakhlak serta amanah supaya benar-benar mengangkat martabat dan darjat umat.
“Bagi rakan-rakan bukan Islam, semangat dan nilai yang dipupuk, akhlak yang ditekankan, ihsan dan rahmah itu akan menjadikan Malaysia ini negara yang berpaut pada Islam tetapi cuba menyantuni semua sebagai kaum keluarga yang boleh bersama-sama secara aman dan penuh hikmah mengangkat martabat, darjat, harakat umat dan bangsa,” katanya.
Majlis diteruskan dengan penyampaian tausiyah oleh Syeikh Dr Ali Juma’ah dan Habib Umar.
Usai penyampaian tausiyah, Perdana Menteri bersalaman dengan para jemaah sebelum meninggalkan majlis pada 9.30 malam. -TVS