Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Projek IAC di Limbang sedang dalam pembinaan. Foto: TVS

JKR dikerah sedia pelan pemulihan projek IAC Limbang – Uggah

LIMBANG, 26 Mei: Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dikerah untuk menyediakan pelan pemulihan agar projek Pusat Pentadbiran Bersepadu atau Integrated Administrative Centre (IAC) Limbang dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerja-kerja pembinaan projek IAC bernilai RM157 juta itu tidak berjalan seperti yang diharapkan sambil meminta pihak kontraktor menyiapkan projek itu segera.

Uggah dan kenamaan lain pada sesi taklimat projek IAC oleh JKR Limbang. Foto: TVS

Jelasnya kelengkapan sumber manusia, bahan binaan dan keperluan peralatan dan mesin perlu diambil kira pihak kontraktor agar projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan iaitu pada September 2024.

“Kita mengarahkan jabatan kita, pihak JKR terutamanya pegawai penyelia membuat kerja secara terperinci dan menyediakan pelan pemulihan IAC.

“Kami mendapati perkembangan tidak seperti yang diharapkan, jadi beberapa perkara perlu diberi perhatian kontraktor untuk memastikan tenaga kerja yang mencukupi, jentera yang mencukupi dan bahan yang mencukupi.

“Ini adalah sangat penting bahawa semua ini perlu diatur semula supaya mereka dapat menyiapkan awal lebih-lebih lagi cuaca kering dan panas adalah masa yang sesuai untuk syarikat pembinaan meningkatkan produktiviti mereka,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan lawatan kerja ke Projek IAC Limbang dan Projek Jambatan Kedua Sungai Limbang hari ini.

Turut sama ialah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang.

Kata Uggah lagi, kerajaan negeri mengenal pasti beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya projek sakit di Sarawak antaranya kos material yang melambung kerana COVID-19, kekurangan bahan mentah dan kekangan pekerja termasuk yang dihadapi pada projek IAC di Limbang.

Mengulas mengenai projek Jambatan Kedua Sungai Limbang, Uggah optimis projek itu dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Beliau berkata projek bernilai RM177 juta yang dijangka siap pada September 2024 itu amat dinanti penduduk di daerah ini dalam menghubungkan penduduk di seberang sungai Limbang selain menjadi satu lagi laluan utama untuk jalan pesisir ke negara jiran, Brunei.

Beliau berkata pihak JKR sudah diarah untuk bekerja bersama dengan pihak kontraktor agar kerja pembinaan dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan