KUCHING, 26 Mei: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak menyokong penuh penganjuran program ‘Come Discover Bumi Kenyalang’ yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program sedemikian dapat memberi peluang kepada pelajar dari luar negara mengenali Sarawak dengan lebih mendalam.
“Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk membantu mereka yang meminati silang budaya ini serta dalam masa sama mempromosikan negeri kita.
“Secara tidak langsung ia juga memberi peluang kepada para pelajar dan tenaga pengajar untuk memahami budaya yang ada di sini (Sarawak),” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program ‘Come Discover Bumi Kenyalang’ di sini, semalam.
Turut hadir, Rektor UiTM Sarawak Profesor Dato Dr Jamil Hamali dan delegasi dari Indonesia serta Kemboja.
Program ‘Come Discover Bumi Kenyalang’ merupakan program yang menyediakan pelajar dengan pengalaman pembelajaran komprehensif di samping mendedahkan mereka kepada budaya dan persekitaran baharu.
Dalam masa sama, program tersebut turut menyediakan platform kepada pelajar dalam mengembangkan kemahiran mereka dalam suasana berbilang kaum dan budaya, mempelajari kaedah kerja baharu dan mendapatkan pandangan serta amalan pendidikan global.
Antara universiti yang terlibat dalam program ini adalah Universitas Tanjung Pura Indonesia, Universitas Pancha Bakti, Institut Agama Islam Negeri Pontianak Indonesia dan Universiti Pengurusan Kebangsaan Kemboja.
Sementara itu, Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan memberitahu, beliau amat prihatin dengan pembangunan belia di negara ini.
“Dalam kita menuju ke era automasi, kita mesti memastikan bahawa belia kita berkembang secara holistik jika kita mahu kestabilan yang berterusan.
“Bagaimanapun, mereka juga perlu menyesuaikan diri terutama di zaman yang agak mencabar ini,” tegasnya. – TVS