Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sarawak dipilih sebagai negeri permulaan untuk model perkongsian rangkaian antara syarikat telekomunikasi. Foto hiasan: TVS

Perkongsian rangkaian antara syarikat telekomunikasi selesaikan isu capaian internet, talian telefon – Fahmi

ByBernama

LANGKAWI, 25 Mei: Kementerian Komunikasi dan Digital berharap model perkongsian rangkaian antara syarikat telekomunikasi dapat dibentuk pada awal bulan depan, bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan capaian internet dan talian telefon di seluruh negara.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata perbincangan pihaknya dengan syarikat telekomunikasi sedang dilakukan, termasuk berkaitan penggunaan menara telekomunikasi antara satu syarikat dengan syarikat yang lain.

“Saya telah maklumkan kepada SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), isu melibatkan perkongsian rangkaian dan kerjasama antara syarikat telekomunikasi untuk menggunakan menara satu sama lain.

“Ini perlu kita rancakkan perbincangannya, supaya menjelang Jun nanti usaha kita untuk mengadakan perkongsian rangkaian dapat berjaya,” katanya ketika ditemui selepas Program Kita MADANI di Pulau Tuba dekat sini, semalam.

Beliau berkata Sarawak dipilih sebagai negeri permulaan untuk model kerjasama tersebut. SKMM bersama syarikat telekomunikasi akan berbincang mengenai perkongsian rangkaian antara syarikat telekomunikasi, selain isu menara telekomunikasi tiada piring satelit di negeri itu.

Katanya, setelah model yang diguna pakai di Sarawak itu berjaya, model sama akan dilaksana di seluruh negara untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan capaian internet dan talian telefon khususnya di kawasan luar bandar.

Fahmi berkata SKMM juga akan menggunakan peruntukan undang-undang yang ada di bawah suruhanjaya itu, dalam memastikan perkongsian rangkaian antara syarikat telekomunikasi itu dapat dibentuk.

“Jadi SKMM akan mainkan peranan sebagai perantara dan sekiranya perlu, kita gunakan apa-apa peruntukan undang-undang yang ada. Saya lihat yang positifnya memang syarikat telekomunikasi bersedia untuk bekerjasama. Mungkin sebelum ini mereka memerlukan masa, tapi kini masanya telah tiba,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan