KUCHING, 24 Mei : Kerajaan Sarawak meluluskan pembiayaan berjumlah RM876.3 di bawah inisiatif Projek Rakyat bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan luar bandar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peruntukan berkenaan merupakan komitmen kerajaan negeri menyediakan keperluan infrastrukur yang mendesak kepada golongan sasar.
Kata beliau, projek pembangunan berkenaan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di negeri ini.
“Peruntukan disediakan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek yang sedang dijalankan pada tahun ini.
“Ia melibatkan sebanyak 5,255 projek transformasi luar bandar yang telah diluluskan untuk merangsang pertumbuhan dan kualiti hidup dalam kalangan penduduk luar bandar di Sarawak,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.
Berhubung perkembangan projek, Douglas Uggah berkata, setakat 31 Mac 2023, sebanyak 55.9 peratus telah siap manakala baki 2,319 projek atau 44 peratus masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
Sementara itu beliau menambah, peruntukan berjumlah RM1.50 bilion telah diluluskan bagi pembiayaan pelaksanaan 592 projek pada 2021, 2022 dan 2023.
“Secara kumulatif, sejumlah RM946.97 juta telah dibelanjakan dalam tempoh yang sama,”katanya.
Kata beliau, Kerajaan Sarawak berusaha untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur khususnya pembinaan jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik, kemudahan pertanian serta projek sosio-ekonomi lain. -TVS