KUCHING, 24 Mei: Barisan pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dilihat ‘tidak banyak berbunyi’ pada persidangan kali ini, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Malah kata Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), ketua pembangkang, Dato Sri Wong Soon Koh memberi pujian kepada kerajaan negeri.
“Saya nampak bahawa (Sidang DUN) kali ini, pihak pembangkang tidak bising dan Ketua Pembangkang memuji ekonomi kita.
“Tidak macam di Parlimen, hari pertama sahaja sudah bergaduh. Kita steady,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Backbenchers GPS di sini malam ini.
Yang turut hadir, dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian serta Speaker DUN. Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
Secara keseluruhan, Premier Sarawak itu berkata Sidang DUN Sarawak yang berakhir hari ini berjalan lancar.
“(Oleh itu), saya berharap agar perpaduan ini dijaga dengan sebaiknya,” katanya.
Sementara itu, Abang Johari berkata, beliau mempunyai sasaran tertentu melibatkan bidang pendidikan di Sarawak menjelang 2030.
“Saya harap kita dapat laksanakan pendidikan percuma,” kata beliau. -TVS