IPOH, 24 Mei: Seorang lelaki yang mengugut untuk membunuh ibunya berusia 72 tahun mati ditembak oleh polis dalam kejadian di Hutan Melintang, dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, lelaki berusia 44 tahun tersebut meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terkena tembakan pada bahu kiri.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan berkaitan seorang lelaki yang di bawah pengaruh dadah sedang bertindak agresif di sebuah rumah.
Ujarnya, polis yang tiba telah berusaha memujuk suspek namun dia semakin agresif sambil mengugut mahu menetak ibunya.
“Suspek yang bekerja buruh turut meletak parang pada tengkuk mangsa sambil menuntut polis beredar.
“Bimbang keselamatan mangsa, polis sedaya upaya memujuknya bertenang namun suspek memeluk mangsa sambil mengacukan parang dan gunting,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Mohd. Yusri, polis dengan berhati-hati berjaya memotong pintu jeriji yang dikunci dari dalam oleh suspek sebelum dia menyedari polis berjaya memasuki rumah.
”Dia telah menolak mangsa sehingga jatuh dan pengsan sambil membaling kipas angin serta menghayunkan parang ke arah polis.
“Atas faktor ancaman nyawa terhadap polis, satu das tembakan dilepaskan ke arah suspek dan terkena bahu kiri sebelum dia disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya lagi.
Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh dan laporan kematian mengejut (SDR). – TVS