KUCHING, 24 Mei: Wakil pentadbiran dalam Kerajaan Sarawak akan ‘terbang’ ke Sweden bagi mempelajari sistem ombudsman dan pentadbiran yang baik, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, langkah berkenaan diambil kerana kerajaan negeri serius mengenai isu integriti.
Jelas Abang Johari, beliau berhasrat untuk mendalami sistem berkenaan yang diamalkan di Sweden.
“Kita mungkin akan menjadi negeri pertama yang memiliki ordinan ombudsman ini agar lebih telus.
“Kami (kerajaan) serius, bukan cakap saja tapi jalan,” kata Abang Johari.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abang Johari menambah kerajaan negeri juga telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Khas (CABCOM) Laporan Penyata Kewangan Tahunan dan Anggaran Belanjawan Tahunan bagi Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan sejak Januari 2023 dalam usaha memastikan pentadbiran yang cekap, telus dan bertanggungjawab. -TVS