KUCHING, 24 Mei: Jumlah dagangan Sarawak tahun lepas meningkat 43.9 peratus kepada RM217.2 bilion daripada RM150.9 bilion pada 2021, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Menurutnya, ia turut menghasilkan peningkatan lebihan dagangan sebanyak 67.3 peratus kepada RM88.2 bilion daripada RM52.7 bilion pada 2021.
“Jumlah eksport meningkat 50 peratus kepada RM152.7 bilion pada 2022 daripada RM101.8 bilion pada 2021 untuk barangan seperti LNG (gas asli cecair), minyak sawit, minyak mentah dan aluminium,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan bagi Kementerian Perdagangan, Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Awang Tengah berkata lagi, jumlah import meningkat 31.4 peratus kepada RM64.5 bilion daripada RM49.1 bilion pada 2021 untuk produk import utama seperti produk kimia, produk petroleum ditapis, bijih aluminium, motokar dan baja.
“Rakan dagang utama bagi Sarawak pada 2022 ialah Jepun, China, Semenanjung Malaysia, Korea Selatan, India, Australia dan Singapura,” katanya.
Jumlah eksport katanya juga menunjukkan peningkatan sehingga 50 peratus kepada RM152.7 bilion pada 2022.
“Ia meningkat daripada RM101.8 bilion pada 2021 untuk barangan seperti Gas Asli Cecair (LNG), minyak sawit, minyak mentah dan aluminium,” ujarnya. – TVS