KUCHING, 24 Mei: Setiap bangsa di Sarawak memiliki tradisi unik yang tersendiri, tidak terkecuali bagi kaum minoriti Bugis.
Sehingga kini, kaum ini masih wujud di Bumi Kenyalang dan mereka menetap di kawasan persisir pantai dan sungai di Miri, Sarikei, Simunjan dan Sadong Jaya.
Pengerusi Kaum Bugis Sarawak, Suraya Lariwoo berkata, antara adat istimewa mereka yang berbeza dengan orang Melayu ialah adat berkepong pada hari persandingan.
Katanya, berkepong dilakukan di ruang yang luas di rumah pengantin perempuan yang mana banyak kelambu digantung.
“Dalam kelambu itu, terdapat enam hingga tujuh dayang yang bersolek seperti pengantin perempuan.
“Kesemua dayang dan pengantin perempuan akan dibaluti dengan kain songket tenun Bugis dan bersembunyi di situ.
“Pengantin lelaki akan mencari pengantin perempuan sehingga jumpa, setelah itu akan dibawa pulang ke rumahnya,” katanya kepada TVS.
Fakta unik itu dikongsi Suraya yang turut membuka reruai kaum Bugis sempena Minggu Perpaduan 2023 yang sedang berlangsung di Waterfront Kuching sehingga Jumaat ini.
Mengulas lanjut, Suraya berkata, mereka juga mempunyai adat bersanding yang berbeza dengan kaum Melayu.
“Ketika majlis persandingan berlangsung pula, pasangan mempelai Bugis akan bersimpuh di atas pelamin.
“Ini berbeza dengan orang Melayu yang mana raja sehari akan duduk di atas kerusi,” katanya.
Katanya sepanjang persandingan, pasangan pengantin akan dikelilingi oleh dayang dan makanan tradisional akan dijamu oleh pengantin.
Dalam soal makanan pula, Suraya berkata, kaum Bugis juga terkenal dengan makanan tradisional iaitu burasak.
“Kami turut mempunyai lauk pauk tersendiri seperti ayam masak putih, daging kak daro dan ikan pindang.
“Kesabaran sangat diperlukan ketika menyediakan hidangan ini kerana prosesnya agak rumit selain mengambil masa yang lama,” katanya. -TVS