KUCHING, 23 Mei: Usahawan tempatan menyambut baik penganjuran Minggu Perpaduan 2023 di bandar raya ini yang bermula Sabtu lepas.
Mereka gembira kerana berpeluang mempromosikan produk masing – masing di samping menjana pendapatan tambahan.
Usahawan kraf tangan, Pauline Hurai berkata, penganjuran acara berskala kebangsaan di Sarawak memberi peluang kepadanya untuk mencari rezeki selain turut mempamerkan kebudayaan unik Bumi Kenyalang kepada pengunjung luar.
“Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya dan rakan – rakan untuk berniaga di sini.
“Sambutan jualan terhadap barangan saya amat baik. Saya berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya kepada TVS.
Penjual aksesori, Joselind Jaidi turut teruja apabila hasil jualannya meningkat.
Katanya, sejak hari pertama penganjuran, gerainya sentiasa dikunjungi pelancong.
“Saya mengeluarkan pelbagai jenis aksesori masyarakat Bidayuh dengan reka bentuk baharu yang membuatkan pelancong tertarik untuk membeli,” katanya.
Bagi Nurhalis Isa yang menjual batik lukis pula, Minggu Perpaduan 2023 bukan sahaja dapat memperkenalkan pelbagai budaya dan kaum di Sarawak malah ia turut membuka ruang kepada usahawan untuk memasarkan produk dengan lebih efektif.
Selain itu, peniaga makanan dan minuman, Siti Rafisha berkata, dia gembira kerana kemeriahan program sambutan ini telah membantu perniagaan keluarganya.
“Ramai pengunjung dari Semenanjung Malaysia datang dan ini telah membantu meningkatkan pendapatan peniaga kecil,” katanya. -TVS