KUCHING, 23 Mei: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan SEDC Energy Sdn Bhd (SEDC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Petronas Research Sdn Bhd (PETRONAS) dan Aerospace Malaysia Innovation Centre (AMIC), pada Isnin.
Persetujuan itu merupakan bekerjasama dalam penyelidikan, pembangunan, dan mempromosikan penggunaan bahan bakar mampan (SAF) di negeri ini.
AMIC dan SEDC juga bekerjasama dengan MIDA untuk mempromosikan dan membangunkan pelaburan ke dalam ekosistem SAF.
Sarawak kini telah menjadi salah satu pengeluar utama biojisim alga atau lumut yang menghasilkan SAF untuk digunakan oleh industri penerbangan.
SEDC dalam satu kenyataan berkata, perkembangan teknologi SAF di Malaysia adalah seiring dengan Pelan Tindakan Aeroangkasa Nasional 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12.
Susulan kejayaan itu, Sarawak mengiktiraf Petronas dan SEDC sebagai rakan kongsi yang penting dalam mencari teknologi baharu.
Dalam pada itu, SAF berupaya membantu industri penerbangan dunia mencapai matlamat untuk mengurang dan seterusnya menghapuskan karbon dioksida daripada penerbangan komersial.
Justeru itu, Sarawak akan terus melangkah dan mengutamakan teknologi hijau melalui pembinaan teknologi alga.
Terdahulu, Abang Johari menaiki pesawat airBaltic A220-300 yang menggunakan SAF berasaskan alga untuk menghadiri Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23). -TVS