KUCHING, 23 Mei: Sarawak berkemampuan membekalkan bahan api penerbangan mampan (SAF) berasaskan alga kepada industri penerbangan di seluruh dunia yang berminat beralih kepada amalan hijau, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, ini berdasarkan kejayaan membangunkan loji jana kuasa tenaga hijau di Sijingkat yang berkeupayaan mengeluarkan sekitar 45 tan SAF untuk kegunaan pesawat di seluruh dunia.
Abang Johari terbang ke LIMA’23 naiki pesawat guna bahan api SAF
Malah kata beliau, usaha Sarawak tidak terhenti setakat itu apabila mereka kini membangunkan kemudahan serupa bagi merancakkan lagi pertumbuhan sektor berkenaan.
“Fasiliti berkenaan dibina oleh SEDC Energy dan Petronas untuk menyerap karbon dioksida dan pembiakan alga bagi penghasilan SAF dan biofuel,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SEDC Energy Sdn. Bhd, Petronas dan Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC) di Langkawi, petang semalam.
Abang Johari kemudian turut berkongsi pengalaman menaiki pesawat yang dikuasakan SAF berasaskan alga dihasilkan di Sarawak untuk ke Langkawi.
“Kami (delegasi Sarawak) sebenarnya menaiki pesawat Airbus A220 yang menggunakan SAF melalui kerjasama antara AMIC, SEDC Energy dan Petronas.
“Berikutan perubahan iklim dan peralihan tenaga yang mendesak ini, Kerajaan Sarawak mempunyai kapasiti untuk menyediakan penyelesaian bahan api hijau berasaskan sumber yang mampan,” kata beliau.
Sementara itu, Abang Johari turut mengalu -alukan pelabur yang berminat bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak bagi membangunkan industri berkenaan yang masih baharu di Malaysia.
“Saya percaya ramai pemain akan datang ke Sarawak dan melabur dalam perniagaan bahan api hijau baharu ini.
“Saya amat mengalu-alukan mereka untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Hab Hijau.
“Ini selaras dengan Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” katanya. -TVS