KUCHING, 23 Mei: Sarawak dijangka meraih hasil jualan produk kraf tangan mencecah RM183.6 juta susulan kelulusan penubuhan Majlis Kraftangan Sarawak (SCC) baru-baru ini, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata, SCC bakal memanfaatkan lebih 1,800 usahawan produk kraf di sini dan memberi panduan bagaimana untuk memacu pertumbuhan sektor berkenaan.
Kata beliau, SCC akan melaksanakan langkah-langkah yang diperlukan untuk memenuhi keperluan dan aspirasi pemegang taruh, kerajaan, serta rakyat.
“Ini akan diteruskan dengan melantik Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif, pengubahsuaian organisasi dan pelantikan pegawai dan kakitangan.
“Ia juga akan untuk mencadangkan dan memperoleh pembiayaan bagi lembaga itu untuk beroperasi dan membangunkan industri kraf,” katanya.
Abdul Karim berkata demikian ketika sesi penggulungan bagi kementeriannya di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Sementara itu, Abdul Karim berkata bagi memastikan SCC dapat berfungsi selaras dengan penubuhan, perlantikan individu yang akan memegang jawatan penting perlu terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran.
“Selain itu pengetahuan dan pengalaman berkaitan industrti seperti yang tertera dalam Ordinan Undang-Undang Adat Bumiputera (perlu dipatuhi),” katanya.
Ke arah perlaksanaan fungsinya juga, Abdul Karim memberitahu, jawatankuasa kerja akan dilantik oleh lembaga untuk membantu dalam tugas-tugas khusus seperti pensijilan produk kraf tangan Sarawak, pentadbiran, integriti dan akauntabiliti, serta pemasaran dan jualan.
“Lembaga itu juga akan mengkaji semula rancangan dan dasar pembangunan semasa, dengan mempertimbangkan fungsi dan kuasa yang tertera dalam peraturan, Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan Rancangan Induk Pelancongan,” katanya. -TVS