KUCHING, 23 Mei: Sejumlah 138 kes kemalangan di tempat kerja direkodkan di Sarawak sehingga 30 April lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan (JKKP) Sarawak Ir. Dr Nor Halim Hasan berkata, daripada jumlah tersebut empat kes melibatkan kematian, empat kes hilang keupayaan kekal, 121 kes lagi kemalangan melibatkan kecederaan dan sembilan kes lagi melibatkan kejadian berbahaya.
“Berdasarkan maut yang direkodkan masing-masing adalah daripada sektor pengilangan satu kes, pertanian dan perikanan satu kes, perhutanan satu kes dan juga kewangan, hartanah dan perkhidmatan perniagaan satu kes,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan Sedunia di sini hari ini.
Menurut Nor Halim, JKKP dari semasa ke semasa akan mengambil tindakan terhadap mana-mana tempat kerja yang didapati terlibat dalam kes kemalangan di tempat kerja.
Katanya, majikan terlibat dengan kes-kes tersebut akan berdepan dengan hukuman denda sehingga RM500,000 jika didapati bersalah gagal menyediakan persekitaran perkerjaan yang selamat oleh mahkamah.
Nor Halim berkata, terdapat penurunan jumlah kes kemalangan maut dicatatkan ditempat kerja sepanjang tempoh lima tahun kebelakangan ini dengan 34 kes pada 2017 kepada 22 kes tahun lalu.
“Dengan langkah-langkah yang kita ambil, penguatkuasaan dan orang yang kompenten bersama-sama membantu dalam memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat dan juga tanggungjawab majikan membantu dalam penurunan kes kemalangan di Sarawak,” katanya. -TVS