Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Tun Abdul Taib ketika menyempurnakan acara memotong kek sempena Sambutan Hari Jadi Ke-87 di Hotel Riverside Majestic di Kuching. Turut hadir, isterinya Toh Puan Raghad Kurdi, Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian. Foto: TVS

Tun Abdul Taib diraikan sempena ulang tahun ke-87

KUCHING, 22 Mei: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud diraikan malam tadi dalam satu majlis sempena ulang tahun kelahiran yang ke-87.

Ketibaan Tun Abdul Taib dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib disambut oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh tiga Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.

Bekas Timbalan Ketua Menteri ketika pentadbiran Tun Abdul Taib sebagai Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam dan Datuk Patinggi Dr Alfred Jabu Numpang turut hadir.

George Chan ketika  menyampaikan penghargaan kepada Tun Abdul Taib menyifatkan bekas menteri persekutuan itu sebagai ‘Arkitek Sarawak’ kerana berjaya membawa perubahan kepada negeri ini.

“Sepanjang 60 tahun berkhidmat termasuk selama 33 tahun sebagai Ketua Menteri, kita dapat menyaksikan pembangunan Sarawak serta menjana pendapatan dan menerima pelaburan.

“Selain itu, penekanan terhadap kepentingan pendidikan yang dilaksanakan oleh Tun Abdul Taib ternyata memberi manfaat kepada generasi muda dengan penubuhan dua universiti luar iaitu Curtin University dan Swinburne University,” katanya.

Kata beliau, ini membuktikan kepimpinan Tun Abdul Taib tidak hanya mengutamakan pembangunan fizikal tetapi turut meletakkan pendidikan sebagai perkara penting.

“Tugas paling penting ialah apabila beliau berjaya menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri yang bersatu padu manakala toleransi antara kaum ibarat sebuah keluarga yang besar tanpa mengira perbezaan kaum dan agama,” katanya.

Sementara itu, Alfred Jabu berkata, Sarawak kini berada di landasan yang tepat untuk menjadi negeri maju menjelang 2030.

Malah katanya hasil kepimpinan Tun Abdul Taib dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berjaya melahirkan generasi pemimpin masa kini yang berpengetahuan.

“Terima kasih Tun kerana telah memberi tunjuk ajar kepada kami dalam PBB. Kami akan terus terus bersatu menjamin kestabilan, keharmonian dan ketenteraman untuk Sarawak Bumi Kenyalang yang tercinta.

“Dalam tempoh tujuh tahun lagi, ia (kejayaan) akan muncul berdasarkan ilham Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berdasarkan asas yang diusahakan oleh Tun,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan