KUCHING, 22 Mei: Perlaksanaan projek Fasa 1 Sistem Pengangkutan Bandar KuchingĀ (KUTS) mencapai 8.25 peratus pada suku pertama 2023, kata Dato Sri Lee Kim Shin.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak berkata, Fasa 1 KUTS membabitkan tiga laluan projek Transit Aliran Autonomi (ART) iaitu laluan biru dari Rembus ke Hikmah Exchange sepanjang 27.6 kilometer (km) dan laluan merah dari Kuching Sentral ke Pending sejauh 12.3 km.
“Laluan hijau dari Pending ke Damai CentralĀ sepanjang 30 km juga termasuk dalam pakej berkenaan.
“Bagi tiga laluan ini, ia membabitkan jarak 69.9 km,” katanya pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Berdasarkan perkembangan berkenaan kata Kim Shin, projek ART yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak berjalan mengikut perancangan dan amalan tadbir urus yang baik.
Sementara itu beliau memaklumkan laluan biru, merah dan hijau masing – masing dijangka akan siap pada suku keempatĀ 2025, suku keempat 2026 dan suku keempat 2027.
Sidang DUN Sarawak turut dimaklumkan oleh Kim Shin yang prototaip kenderaan ART Hydrogen selesai menjalani latihan tahap pertama di fasiliti CRRC Zhuzhou Institute Company Limited, China pada Mac tahun ini.
Beliau berkata, kenderaan prototaip ART Hydrogen dijadualkan tiba pada akhir Julai ini bagi tujuan pengujian di Isthmus mulai September hingga Oktober 2023.
“Ini akan diikuti dengan ujian kenderaan prototaip di laluan ART Lebuhraya Kuching – Samarahan sepanjang tiga km pada November 2023,” katanya. -TVS