Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi. Foto: TVS

DUN Sarawak: Rizab margin air di tiga loji Sarawak kurang lima peratus

ByDouglas Elliot

KUCHING, 22 Mei: Rizab margin air bagi tiga loji rawatan di Sarawak kini berada pada paras kurang daripada lima peratus berbanding kapasiti loji rawatan air, kata Datuk Julaihi Narawi.

Beliau yang juga Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak berkata, bacaan berkenaan dicatatkan di Loji Rawatan Air Salim di Sibu sebanyak tiga peratus manakala paras di Loji Rawatan Air Batu Kitang di Kuching pula sebanyak lima peratus.

Kata beliau, bacaan lebih rendah dicatatkan di Loji Rawatan Air Kaki Wong di Betong iaitu hanya satu peratus.

“Jumlah ini jauh ketinggalan daripada hasrat Sarawak untuk mempunyai rizab margin air pada kadar 20 peratus daripada kapasiti loji rawatan air,” katanya pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Sementara itu beliau memaklumkan, jumlah permintaan air semasa adalah 2,000 liter sehari (MLD) dan unjuran permintaan air pada 2030 adalah sebanyak 2,400 MLD.

“Justeru, beberapa projek utama yang kritikal perlu dilaksanakan segera bagi memenuhi permintaan air yang dijangka terus meningkat,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberitahu liputan keseluruhan bekalan air di Sarawak kini mencapai sebanyak 84.1 peratus pada suku pertama 2023.

Ujarnya, daripada jumlah itu, liputan bekalan air di luar bandar mencapai 67.8 peratus dan bandar 99 peratus.

“Kementerian akan terus komited dan menggandakan usaha untuk meneruskan pelaksanaan pembangunan infrastruktur bekalan air bagi mencapai sasaran liputan penuh menjelang 2030,” katanya.

Jelasnya, Sarawak memerlukan peruntukan sebanyak RM19.2 bilion bagi melaksanakan keseluruhan projek bekalan air bagi memenuhi permintaan bekalan air jangka masa panjang.

“Kementerian kami juga telah mengemukakan siling Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) bernilai RM5.9 bilion bagi mwneruskan pelaksanaan projek air seperti yang dirancangkan,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan